Wednesday, January 8, 2014

TAQWA karangan TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

BAB 1 - Penuhi Masa Muda Untuk Kebahagian Masa Tua

" Jika masa remaja tidak digunakan menurut selayaknya,pastilah akan meninggalkan kenangan pahit di masa tua "

ALLAH S.W.T menganugerahkan peluang secara percuma untuk hambaNYA. Kita diminta supaya merebut peluang-peluang itu serta memanfaatkan sepenuhnya. Jika seseorang itu cuai atau terlalai daripada merebutnya, pasti mereka akan menanggung kerugian kerana disebalik peluang percuma itu akan muncul pula perkara negatif yang akan menimbulkan penyesalan.

Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan Muslim daripada Amru bin Maimun R.A, bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki, dengan sabdanya yang bermaksud:

" Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian"

Peringatan ini deberikan oleh Rasulullah S.A.W dengan suatu tawaran berfaedah, supaya tidak mensia-siakan peluang yang di peroleh secara percuma. Ibarat mendapat harta ghanimah , beruntung tanpa perlu modal, sedangkan orang berniaga mesti melalui modal.



Justeru, kesempatan yang datang secara percuma itu, dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W supaya tidak membiarkannya berlalu sia-sia kerana sekiranya seseorang itu diberi kesempatan oleh ALLAH S.W.T hidup dengan umur yang panjang, pasti ia akan menempuh masa muda. Masa muda itu diberi dengan tidak payah diminta.

Masa muda jangan dibiar berlalu tanpa erti, kerana masa muda itu penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Pergerakan jasmaniyang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal, dan mental remaja yang segar memberikan ruang yang cukup bagi mencapai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Masa muda tidak akan bertahan, kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tibalah masa tua. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang lagi, dan saat remaja hanya kenangan. Jika masa remajatidak digunakan menurut selayaknya, pastilah akan meninggalkan kenangan pahit di masa tua.

Masa tua segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat tenaga sudah lemah., selera makan sudah menurun meskipun disajikan makanan yang serba lazat. Sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan fizikal semakin lemah dan keterbatasan telah melingkungi dirinya.

Dalam situasi demikian, mungkin seseorang bar'u menyedari betapa masa muda itu amat berharga. Oleh itu, mensia-siakan masa muda yang sangat bererti bagaikan menempah untuk derita menanggung penyesalan. Menyesal kemudian hanyalah suatu kesengsaraan.

Masa muda yang diberi secara percuma oleh ALLAH S.W.T itu, akan ditanya semula pada hari perhitungan kelakkerana usia muda itu bukan sahaja suatu anugerah tetapi juga adalah satu amanah. Pasti akan ditanya oleh Penganugerah-NY, gerangan apakah usia muda itu dipergunakan? Sama ada untuk melakukan ketaatan ataupun sebaliknya.

Segenap masa muda yang dipenuhi perkara yang selayaknya sebagai seorang mukmin, sama ada di bidang ilmu aaupun amal, pasti akan menjadikan masa tua yang penuh dengan kesyukuran. Jika tidak, maka ALLAH S.W.T telah mengingatkan hambaNYA dengan firman :

Maksud Firman
" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalm bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ketempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh., maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putus" 
                                                                                                  Surah at-Tin ayat 4,5 dan 6


No comments:

Post a Comment